♥Muffakiratul.Mukminah♥

Assalamua'laikum Warrahmatullahi wabarakatu
♥Vanilla lover♥
♥13 September 1992♥
♥15 Rabiulawal 1413H♥
♥Full Time Muslimah♥

Aku & Tudung Labuh ♥

Alhamdulillah dah masuk setahun lebih aku pakai tudung labuh. Tudung labuh adalah impian aku semasa aku masih di bangku sekolah lagi. Namun atas faktor keluarga aku pudarkan impian aku sejenak. Aku bercadang ingin memakai tudung labuh pabila aku diterima masuk universiti, universiti yang jauh dari pangkuan keluargaku. Sudah tertulis takdir aku belajar di salah sebuah universiti swasta di tanah kelahiranku. Impian aku terkubur begitu sahaja. Tidak mungkin keluarga aku akan merestui impian aku ini. Ketiadaan modal juga menjadi faktor impian aku musnah.

Aku lahir dalam sebuah keluarga yang pada asal nenek moyangku tidak mengamalkan kehidupan sebagai Muslim sepenuhnya. Hidup mengikut adat dan ketandusan tentang agama menjadi akar segala-galanya. Aku dibesarkan dalam suasana keluarga yang mengamalkan agama suam-suam kuku sahaja. Hanya papa aku menjadi pembimbing dari kecil. Mengenang kembali zaman kanak-kanak aku, aku seorang yang takut membaca Al-Quran kerana aku tidak tahu membaca Al-Quran. Aku selalu melarikan diri apabila kelas Kafa dijalankan. Nenek aku mengajar aku bermula dari Iqra’ dan Muqaddim. Namun aku masih malas untuk membaca apatah lagi belajar agama. Minat aku tentang agama hanyalah tertumpu pada keindahan nukilan kisah para Nabi-Nabi. Begitulah kisah aku masa zaman kanak-kanak.

Bila diingatkan, aku mula memakai tudung semasa aku berumur 13 tahun tetapi aku tidak memakainya dengan bersungguh-sungguh. Umurku 16 tahun adalah titik permulaan penghijrahan diri aku untuk memakai tudung. Kematian membuat hati aku tergerak untuk memakai tudung sekaligus penghijrahan diri yang pertama. Aku mula belajar agama, belajar membaca Al-Quran. 

Aku ditawarkan untuk belajar di universiti swasta;Universiti Curtin di tanah kelahiranku dalam bidang kejuruteraan. Aku diterima untuk ke UiTM dalam bidang lain, namun dengan berat hati aku tolak kerana percaya bahawa inilah titik perjalanan yang sudah tertulis untuk aku. Impian aku untuk bertudung labuh terkubur lagi. Aku tidak berputus asa. Aku percaya Allah telah aturkan sesuatu yang lebih indah untuk aku.

Aku mulakan diri aku untuk mendalami agama dengan lebih mendalam sebelum Allah makbulkan impian aku. Aku mula memakai stokin kaki dan tangan pabila aku memakai baju lengan panjang. Dalam berkat doa yang tidak putus-putus, Alhamdulillah Allah memberi jalan dan memudahkan impian aku. Alhamdulillah salah seorang sahabat sejatiku, Umi Kalthum Bt Pauji mula memakai tudung labuh dan aku tidak teragak-agak untuk menyempurnakan hasrat aku itu. Allah telah memakbulkan impian aku melalui sahabatku dan ibu sahabat aku. Aku membeli tudung labuh yang pertama bersama sahabat dunia akhiratku, Siti Aishah Bt Hamden. Dan aku mendapat tudung labuh yang dibuat sendiri oleh ibu sahabatku Umi Kalthum Bt Pauji. 

Pertama kali aku memakai tudung labuh semasa berkunjung ke rumah sahabatku Umi Kalthum Bt Pauji. Reaksi papa mama aku biasa sahaja, apa kemahuan aku, mereka turutkan sahaja malah papa aku merasakan ini yang terbaik untuk aku. Namun bukan semua bersetuju atas penghijrahan aku. Insan yang aku yakin sokong penghijrahan aku rupa-rupanya menolak dan tidak menginginkan aku sebegitu. Pelbagai tohmahan aku terima, aku dituduh mengikut kumpulan Al-Arqam, ada yang mencemuh tiada lelaki yang akan mengahwini aku, malah ada yang berdoa yang aku tidak akan kekal sebegini, aku diejek. Pedih hatiku mendengar segala-galanya. Sokongan yang aku harapkan, cemuhan yang aku dapat. Aku mencuba mencari kekuatan,Alhamdulillah Allah sedang menguji aku, menguji setakat mana aku benar-benar ikhlas. Permulaan amat memeritkan, hanya keluarga aku yang tidak dapat menerima namun sahabat-sahabat sekeliling aku menyokong aku Aku tetap berdoa moga Allah melembutkan hati keluargaku. Aku ingat kata-kata papa aku, ‘jangan dihiraukan mulut yang berbisa tetapi ambil sebagai pengajaran bahawa tiada benda yang dilaksanakan mudah seperti yang kita sangka, kata-kata bukan sebab untuk merasa diri rendah tetapi niat yang utama membuat diri berkobar-kobar.’ =]

Alhamdulillah semua insan sekeliling aku mula menerima penghijrahan aku malah aku dipanggil ustazah di kampungku. Panggilan yang belum sedia untuk aku terima kerana aku masih banyak untuk belajar. Aku belum tahu 100% tentang agama dan masih mencari dan menimba ilmu. Aku sudah bersedia dengan penghijrahan aku,membawa diri aku bertudung labuh memerlukan tanggungjawab yang tinggi kerana pakaian sebegini cermin Islam. Aku tahu apa yang aku pikul amatlah besar. Membawa imej Islam dalam kelompok dimana Islam sebagai minoriti. Aku memakai tudung labuh bukanlah bertujuan untuk menunjuk yang aku alim atau tahu sangat agama tetapi aku lakukan hanya kerana Allah, aku ingin senantiasa berada dalam lindungan-Nya, melindungi diri aku dari pandangan-pandangan mata bernafsu kaum Adam, salah satu cara aku mengabdikan diri aku kepada Allah, sebagai peringatan aku tentang bisikan-bisikan syaitan. InsyaAllah, jika niat yang betul, Allah akan permudahkan segala-galanya. Allah adalah kekuatan aku. Bersyukurlah sesiapa yang diluar sana mempunyai keluarga yang sentiasa menyokong dalam hal yang melibatkan agama.

Aku kini hanya menanti impian aku berniqab. Aku tahu keluarga aku tidak akan menyokong impian aku ini. Aku hanya menanti jauz yang akan membantu aku untuk menyempurnakan impian aku. InsyaAllah segala akan berlaku dan Allah sentiasa bersamaku. Aku juga mempunyai satu impian yang aku tidak tahu bila dan bagaimana nak melaksanakan, aku ingin tamatkan sisa hidupku di tanah suci Makkah. InsyaAllah jika ia tidak keberatan untuk aku, Allah akan memberi kesenangan.

Aku akan terus berdoa. Moga Allah terus bersama aku dan mematikan aku dalam keimanan. Moga Allah sentiasa membimbing hati aku untuk jauh dari segala penyakit hati (riak, ujub, sombong munafik), membantu aku untuk tidak memandang dan tidak dipandang, menjaga kelincahan tajamnya lidah berbicara, menutup telinga aku mendengar segala kejahatan dan akhir sekali sentiasa mengingati aku untuk mensyukuri segala nikmat yang diberi oleh-Nya.

“Tidak ada kesusahan (atau bencana) yang menimpa (seseorang) melainkan dengan izin Allah; dan sesiapa yang beriman kepada Allah, Allh akan memimpin hatinya (untuk menerima apa yang telah berlaku dengan tenang dan sabar).”

At-Taghabun:11

Yang tertutup lebih indah. =]

03 Rabiulakhir 1433H